Ketua jurulatih skuad duatlon negara, Peter Lau, menyifatkan faktor kurang pengalaman menjadi punca kegagalan anak buahnya meraih kedudukan podium dalam acara lelaki dan wanita Sukan SEA Filipina semalam.

Acara duatlon menyaksikan peserta perlu berlari sejauh 10 kilometer, diikuti berbasikal 40km sebelum kembali meneruskan larian 5km untuk menamatkan perlumbaan.

Melakukan penampilan sulung di pentas Sukan SEA, atlet wanita kebangsaan, Lee Phui Se dan Mariana Mohamad, hambar di tempat kelapan dan kesembilan tatkala pingat emas dimenangi wakil tuan rumah, Monica Torres.

Wakil Thailand, Pareeya Sonsem, mengutip perak sambil gangsa menjadi milik atlet berusia 22 tahun dari Vietnam, Nguyen Thi Phuong Trinh.

"Disebabkan ia kali pertama, atlet menjadi gementar. Mereka tidak bersaing dalam banyak kejohanan sebelum ke Filipina sambil negara lain melalui pelbagai siri cabaran," katanya.

Sementara itu, Lim Kien Mau dan Loh Chwan Chin, yang membawa cabaran negara dalam kategori lelaki turut gagal memberikan saingan apabila menduduki tempat ketujuh dan kesembilan, namun masing-masing berjaya melakukan catatan masa terbaik.

Perlumbaan itu diungguli wakil Indonesia, Johan Jauhari, yang membuat kejutan mengatasi peserta tuan rumah, Joey De Los Reyes, dan wakil Thailand, Nattawut Srinate.