Elemen kekeluargaan menjadi sandaran skuad boling tenpin negara dalam misi merealisasikan status sebagai lubuk emas kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Skuad negara kembali memulakan latihan hari ini selepas mengharungi kem di Lenggong, Perak, selama empat hari yang bermula Ahad lalu.

"Ia lebih menjurus kepada kem bina semangat, kami amat seronok dengannya kerana dapat berehat seketika daripada aktiviti boling tenpin.

"Ia sesi yang agak memenatkan tetapi kami semua berseronok," kata pemain wanita negara, Sin Li Jane, dalam sesi latihan di Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya, hari ini.

Walaupun kontinjen Malaysia masih segar bergelar juara keseluruhan Kejohanan Boling Tenpin Asia Ke-25 di Kuwait hujung bulan lalu dengan meraih enam pingat emas, satu perak dan empat gangsa, namun mereka tidak menunggu lama untuk menumpukan perhatian kepada kempen Sukan SEA pula.

"Kami sudah mula dengan program persiapan dan sudah terbiasa dengan situasi sebegini.

"Kami akan menyesuaikan diri dengan baik."