Skuad boling padang empat sepasukan lelaki negara layak ke final Sukan SEA selepas menewaskan Thailand 19-16 dalam aksi peringkat round robin yang menyaksikan Malaysia menamatkan cabaran selaku juara kumpulan.

Pasukan negara yang diketuai Fairul Izwan Abd Muin itu mempamerkan aksi mantap walaupun beraksi dalam keadaan angin kuat.

Malaysia yang turut dibarisi Muhammad Idham Amin, Daeng Dha Dry Da Hasry dan Zulhilmie Redzuan berjaya mendahului sejak end pertama tatkala Fairul memainkan tugas penting selaku pemain terakhir untuk memastikan bowl lawan sentiasa jauh dari jack.

Malaysia menang 19-16 selepas tamat 15 end untuk hanya selangkah meraih pingat emas keempat sukan itu dalam edisi kali ini.

"Pertama sekali, saya rasa gembira apabila kami dapat layak ke final di mana semalam, skuad
kami telah memperoleh tiga emas.

"Kami sasarkan emas, jadi kini telah ke final," kata Fairul Izwan.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Zuraidi Puteh, tetap positif walaupun sasaran lima emas tidak kesampaian susulan kegagalan skuad tiga sepasukan wanita mara ke final.

"Kami perlukan kemenangan ini selepas terlepas sasaran lima emas. Kami terlepas emas dalam tiga sepasukan wanita, jadi penting buat empat sepasukan lelaki muncul pemenang bagi membolehkan kami mengatasi pencapaian di luar Kuala Lumpur dalam edisi sebelum ini," katanya.

"Namun, jika kami meraih empat emas, ia tetap satu pencapaian yang baik."