Bola tampar pantai: Boon Yeow intai gangsa

Oleh Staff Writer 12 November 2019 69
Bola tampar pantai: Boon Yeow intai gangsa
Skuad bola tampar pantai negara tiada masalah untuk menghadiahkan pingat, sekurang-kurangnya gangsa, buat kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember ini.

Ini berikutan acara itu hanya akan disertai tiga negara, iaitu Malaysia, di samping juara bertahan, Thailand, dan pemegang pingat perak dan gangsa edisi lalu, Indonesia, masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.

Pengurus pasukan, Hean Boon Yeow, berkata dalam penampilan kali ini, skuad bola tampar pantai menyasarkan dua pingat gangsa bagi pasukan lelaki dan wanita.

“Sasaran kita ialah gangsa untuk kedua-dua pasukan. Dalam Sukan SEA, Indonesia adalah pemenang pingat perak dan gangsa manakala Thailand adalah juara bertahan untuk beberapa edisi Sukan SEA sebelum ini. Kami adalah jauh ke hadapan dari segi fizikal dan persiapan, ” katanya.

Sementara itu, atlet bola tampar pantai wanita, Shu Woon Joo, berkata skuad negara mendapat sentuhan  jurulatih dari Thailand, Thawip Thongkamnerd, sejak September lalu.

“Untuk persiapan, kami sudah lebih kurang setahun (berlatih) dan jurulatih Thawip sudah bersama pasukan sejak September lalu,” katanya.

Skuad bola tampar pantai negara mendapat tonik terbaik apabila kedua-dua pasukan lelaki dan wanita muncul juara Kejohanan Bola Tampar Pantai Siri Kebangsaan Singapura.

Untuk rekod, skuad bola tampar kali terakhir meraih pingat menerusi gandingan Luk Teck Hua-Beh Shun Ting yang membawa pulang gangsa pada edisi Sukan SEA 2011 Indonesia.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen