Bekas kapten kebangsaan, Safiq Rahim, tetap yakin dengan pendekatan diterapkan pengendali pasukan B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, yang tidak mempertaruhkan beberapa bintang besar daripada skuad senior untuk dibawa ke Sukan SEA Filipina, hujung bulan ini.

Safiq -- yang pernah menjadi sebahagian daripada skuad bola sepak yang menamatkan penantian 28 tahun negara di pentas Sukan SEA ketika edisi 2009 di Laos -- berpendapat ia satu percaturan bijak dalam usaha memperbanyakkan lagi penyambung legasi dalam pasukan kebangsaan.

Antara nama yang tidak disenaraikan Kim Swee untuk menjalani latihan menjelang Sukan SEA 2019 adalah tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid, serta pertahanan Selangor, Syahmi Safari.

Ia susulan ketiga-tiga pemain itu sudah berada dalam perancangan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, untuk menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Bagus untuk bawa pemain baru ke Sukan SEA kerana Safawi dan Akhyar boleh tumpu kepada skuad senior. Kami perlu tampilkan wajah baru dalam kejohanan sebegini, sekali gus beri peluang. Diharapkan mereka yang meraih peluang dapat memberi kesan kepada pasukan negara," katanya.

Dalam masa sama, Safiq turut mengingatkan barisan pemain yang terpilih nanti agar tidak memandang mudah cabaran dalam Kumpulan A biarpun bakal berdepan dengan negara seperti Filipina, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste sebelum meneruskan kemaraan.

"Kami tidak boleh pandang rendah kepada pencabar lain. Apa yang penting, kerja keras dan ikut segala perancangan jurulatih."