THAILAND 7 BRUNEI 0

Thailand bangkit daripada kekalahan dalam aksi pembukaan kepada Indonesia untuk mengatasi Brunei Darussalam 7-0 dalam saingan Kumpulan B bola sepak Sukan SEA 2019 di Stadium Memorial Rizal di Manila, Filipina, sebentar tadi.


Juara bertahan Sukan SEA 2017 itu mengalami kekalahan 2-0 kepada juara Kejohanan AFF B-22, Indonesia dalam aksi pembukaan tetapi Thailand kembali menemui rentak menerusi aksi cemerlang ke atas Brunei.

Bagaimanapun, skuad kendalian Akira Nishino itu berdepan separuh masa pertama yang mengecewakan apabila gagal menembusi benteng pertahanan sehinggalah pada minit ke-42 menerusi tandukan penyerang Buriram United, Supachai Jaided.

Dominasi Thailand bermula sejurus perlawanan bersambung apabila Jaroensak Wonggorn berjaya melepasi benteng akhir Brunei untuk meledak gol kedua pada minit ke-46.

Pemain tengah Bangkok United, Anon Amornlerdsak, menjadikan kedudukan 3-0 selepas menyempurnakan sepakan percuma, disusuli Sarayut Sompim menanduk jaringan keempat pada minit ke-71.

Gol kelima hadir menerusi sumbangan Suphanat Mueanta yang bijak menggelecek melepasi beberapa pertahanan dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan mengatasi penjaga gol Brunei.

Anon meledak gol kedua dalam perlawanan itu pada minit ke-86 sebelum Supachok Sarachat melengkapkan kemenangan 7-0 dua minit sebelum tamat.

Thailand seterusnya akan berdepan Singapura, Ahad ini.