Pemain tengah skuad B-22 negara, Syamer Kutty Abba, tidak gusar dengan kehadiran Amani Aguinaldo dalam skuad Filipina yang dikatakan mampu berkongsi maklumat penting mengenai rahsia pasukan Malaysia menjelang aksi kedua Kumpulan A, Sukan SEA Jumaat ini.

Aguinaldo beraksi bersama pasukan PKNP FC dalam kancah Liga Super musim ini dan berbekalkan pengalaman semusim di pentas Liga Malaysia, pertahanan tengah itu difahamkan mengetahui dan mengenali kemampuan jentera serangan negara.

Namun, Syamer menepis tanggapan bahawa maklumat yang dimiliki pemain berusia 24 tahun itu cukup untuk mengekang asakan skuad negara walaupun dia pernah berentap dengan kebanyakan pemain negara dalam Liga Malaysia.

"Seorang pemain tidak memberi kesan kepada seluruh pasukan kerana situasi berubah dalam setiap perlawanan. Ia tidak memberi kesan kepada kami," katanya.

Syamer merupakan antara tiga pemain dalam senarai kecederaan bersama Dominic Tan dan Akhyar Rashid, namun keadaan mereka tidak membimbangkan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Dalam masa sama, Irfan Zakaria turut cuba mendapatkan maklumat daripada bekas rakan sepasukannya di Kuala Lumpur, Luke Woodland, yang merupakan pemain naturalisasi Filipina bagi membantu Malaysia merangka strategi berdepan dengan pasukan tuan rumah itu.

"Memang saya beraksi sebagai satu pasukan dengan Woodland sewaktu di Kuala Lumpur. Saya pernah bertanya kepadanya. Kebiasaannya dia hanya akan menyertai skuad senior Filipina apabila ada tugasan antarabangsa, jadi dia tidak begitu maklum mengenai perkembangan pasukan muda," ujar Irfan.