Pengendali pasukan Selangor, B. Sathianathan, turut melahirkan rasa kecewa atas kombinasi skuad B-22 negara yang tidak memberikan persembahan 100 peratus di Filipina.

Baginya, moral pasukan itu terganggu dengan ketiadaan kelibat beberapa pemain negara yang dirasakan mampu mengubah keputusan hambar itu.

"Terdapat perkara yang tidak boleh saya dedahkan tetapi saya melihat pemain-pemain kelihatan patah semangat dan gagal menampilkan permainan yang lebih berkualiti," katanya.

Pengendali berusia 61 tahun itu turut menidakkan penggunaan taktikal yang digunakan jurulatih skuad Sukan SEA negara, Datuk Ong Kim Swee, sebagai satu masalah.

"Mengapa taktikal ini dipersoalkan? Mengapa ia tidak dikatakan apa-apa ketika ia digunakan Kim Swee ketika cemerlang dalam saingan Sukan Asia sebelum ini.

"Terdapat barisan pemain yang sudah lama membiasakan diri dengan corak permainan Kim Swee. Mustahil jika padang tiruan menjadi masalah buat pemain-pemain negara.

"Apa yang saya tidak nampak adalah kombinasi antara pemain di atas padang serta kesungguhan mereka untuk mendapatkan bola dan kembali mengawal permainan. Saya percaya post-mortem harus dilakukan selepas ini."