Skuad B-22 negara perlu mengelak sindrom 'lambat panas' apabila terpaksa berentap dengan pencabar paling kuat, Myanmar, dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Sukan SEA Filipina bulan depan.

Malaysia dan Myanmar merupakan dua pasukan yang dicanang mampu meneruskan kemaraan ke separuh akhir walaupun tuan rumah, Filipina, turut mampu memberi cabaran kuat dalam Kumpulan A.

Sudah pasti kedua-dua pasukan itu mahu mengelak bertembung dengan juara Kumpulan B yang bakal menyaksikan persaingan sengit di antara juara bertahan, Thailand, dan Vietnam.

Namun, berdasarkan jadual rasmi perlawanan, Malaysia dan Myanmar akan berentap dalam aksi pertama dan andai tersilap langkah, peluang skuad negara untuk muncul juara kumpulan mungkin tidak kesampaian.

"Ia satu cabaran buat Malaysia dan pemain tidak boleh lepaskan peluang itu. Mahu atau tidak, mata penuh perlu diraih atau sekurang-kurangnya seri.

"Selain Myanmar, tuan rumah juga bukan calang-calang pasukan dan begitu juga pasukan lain seperti Kemboja. Saya rasa aksi pertama perlu bermula dengan langkah kanan," ujar pemerhati bola sepak kebangsaan, Jalil Ramli.

Bagaimanapun, pengendali skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, pastinya lega dengan perkembangan terbaru membabitkan jadual rasmi perlawanan.

Sebelum ini, dia menyuarakan kebimbangan dengan kelewatan tuan rumah menyediakan jadual berkenaan yang mampu mengganggu persediaan skuad negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mendedahkan badan induk itu berdepan masalah untuk membawa pemain sensasi muda negara, Wan Kuzain Wan Kamal, ke tanah air.

Beiau menjelaskan ia tidak membabitkan masalah pelepasan pasukan tetapi mengesahkan pemain terbabit hanya perlu menyelesaikan isu pasport bagi menyertai skuad muda negara dalam masa terdekat.

"Wan Kuzain memang ada pasport Malaysia tetapi ia telah luput. Ia memerlukannya untuk datang ke sini dan memperbaharuinya semula. Ia memerlukan sedikit masa dan Wan Kuzain juga berdepan komitmen dengan kelab.

"Jadi, masa yang sesuai sedang ditunggu dan sama ada Kim Swee mahu meneruskan perancangan menggunakan khidmat Wan Kuzain, terserah kepadanya," katanya.

Situasi itu pastinya memberi tamparan kepada Kim Swee yang tampak menagih sentuhan pemain yang berkelana di Amerika Syarikat itu.

Nama Wan Kuzain sudah pun dihantar dalam senarai 40 pemain ke Sukan SEA dan jika ia berlaku, dia akan tiba kurang 10 hari sebelum skuad negara berlepas ke Filipina.