Bola sepak: Kim Swee tetap waspada

Oleh Bernama 15 Oktober 2019 738
Bola sepak: Kim Swee tetap waspada
Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan laluan skuad muda negara dalam acara bola sepak Sukan SEA Ke-30 di Filipina bulan depan tetap berliku walaupun diundi bertemu empat pasukan kurang ternama.

Pengendali kelahiran Melaka itu mengakui walaupun berdepan laluan selesa dalam Kumpulan A, pemain negara diingatkan supaya tidak mengambil mudah empat lawan mereka, iaitu Myanmar, Kemboja, Timor Leste  serta pasukan tuan rumah, Filipina.

“Kami tidak boleh mengambil mudah kerana pasukan lain sudah membuat persiapan lebih awal daripada kita, termasuk tambahan dua pemain lebih umur, dan ini pastinya memberi kekuatan seimbang kepada semua pasukan, lebih-lebih lagi pasukan tuan rumah,” katanya.

Pengendali berusia 48 tahun itu mendedahkan beliau lebih gemar untuk memberi fokus perlawanan demi perlawanan walaupun peminat bola sepak tempatan meramalkan Malaysia mudah menempah tiket ke separuh akhir Sukan SEA berdasarkan keputusan undian yang berlangsung di Manila hari ini.

“Untuk mendapatkan pingat (emas), memang sasaran kami, tapi biar kami tumpu kepada peringkat kumpulan (terlebih dahulu), sebelum pergi ke peringkat lebih jauh,” jelasnya.

Mengenai dua pemain lebih umur ke Sukan SEA 2019, Kim Swee menyatakan perkara berkenaan hanya akan diputuskan selepas beliau melihat perlawanan Malaysia menentang Indonesia dalam aksi kelima Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 19 November ini.

Beliau dalam masa sama turut mendedahkan bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, mungkin akan dipanggil untuk menyertai sesi latihan skuad B-23 negara awal bulan depan, namun ia bukan jaminan penyerang skuad B-19 negara itu akan disenaraikan dalam skuad akhir 20 pemain ke Sukan SEA nanti.

“Kami tahu Luqman adalah pemain berpotensi yang boleh beraksi di peringkat lebih tinggi tetapi kita tidak perlu terburu-buru kerana saya ingin melihat prestasinya dalam sesi latihan terlebih dahulu.

“Ketika ini, Luqman hanya beraksi bersama skuad B-19 negara tetapi belum beraksi di peringkat (umur) yang lebih tinggi, jadi kami harus memberikan masa kepada Luqman untuk menyertai pasukan B-23 mahupun pasukan kebangsaan,” tegas Kim Swee.

Luqman yang merupakan hasil produk Akademi Mokhtar Dahari, mencuri tumpuan peminat tempatan selepas ditawarkan untuk beraksi dengan kelab Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk, selama lima tahun bermula musim depan.

Penyandang pingat emas, Thailand, bakal menerima cabaran sengit selepas diundi bersama Vietnam, Indonesia, Laos, Singapura dan Brunei dalam Kumpulan B.

Untuk rekod, Thailand meraih pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah menewaskan Malaysia 1-0 dalam final di Stadium Shah Alam.

Acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2019 akan berlangsung dari 30 November sehingga 10 Disember, dengan perlawanan Kumpulan A akan diadakan di Stadium Memorial Rizal, Manila manakala aksi Kumpulan B bakal berlangsung di Stadium Binan, Laguna.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen