KEMBOJA 5 TIMOR LESTE 0

Kemboja merekodkan kemenangan pertama dalam saingan bola sepak Sukan SEA 2019 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Timor Leste 5-0 di Stadium Memorial Rizal, Manila sebentar tadi.


Kemboja sebelumnya hampir merakamkan kemenangan pertama dalam saingan Sukan SEA, namun terikat 1-1 dengan tuan rumah, Filipina, dalam aksi pembukaan.

Wira Angkor itu telah diberikan peluang keemasan oleh Timor Leste apabila penjaga gol, Aderito Fernandes, terpaksa mendakap bola hantaran ke belakang oleh pemain pertahanan hingga memberikan sepakan percuma dalam kotak penalti.

Sepakan percuma Sin Kakada terkena pertahanan yang membuatkan Aderito tersalah langkah bagi membenarkan skuad kendalian Felix Dalmas itu mendahului pada minit ketujuh dalam aksi kumpulan A.

Aderito sekali lagi diuji pada minit ke-36 menerusi rembatan jarak jauh, dengan tampanannya membias bola terkena palang sebelum Keo Sokpheng pantas menyambar untuk menjaringkan gol kedua, namun ia dinafikan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Kemboja akhirnya mendapat ruang bernafas pada minit ke-70 apabila Reung Bunheing menjaringkan gol selepas menerima hantaran silang Seut Baraing.

Sokpheng mencipta jaringan ketiga Kemboja tujuh minit kemudian apaibla percubaannya yang ditampan Aderito disempunakan oleh pemain gantian, Sieng Chanthea.

Chanthea kemudian bertindak melakukan bantuan jaringan apabila lorongannya membenarkan Sokpheng menjaringkan gol keempat perlawanan -- yang kedua buat dirinya sepanjang saingan Sukan SEA kali ini.

Jaringan kelima hadir pada penghujung permainan apabila Bunheing melengkapkan kemenangan Kemboja, sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga teratas Kumpulan A dengan empat mata.