"Bukan tidak disambung kontrak tetapi mencuba sesuatu yang baru."

Pertahanan negara, Irfan Zakaria, enggan memikirkan soal destinasinya dalam kancah Liga Malaysia musim depan bagi memberi tumpuan 100 peratus kepada tugasan negara dalam Sukan SEA Filipina terlebih dahulu.

Irfan tampil menjelaskan bahawa Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) berminat untuk meneruskan khidmatnya musim depan, namun pemain berusia 24 tahun itu mahu mencuba angin baru.

Dia mengakui mendapat beberapa tawaran daripada kelab tempatan, namun masih belum memutuskan hala tujunya pada musim 2020 dan hanya akan berbuat demikian sejurus menamatkan tugasan negara.

Setakat ini, difahamkan beberapa pemain tonggak turut tidak akan beraksi buat skuad Warga Kota itu musim depan, antaranya Guilherme de Paula, Asri Chuchu serta penjaga gol, Sharbinee Allawee.

"Bukannya Kuala Lumpur tidak mahu menyambung kontrak saya, mereka juga ada menawarkan kontrak baru.

"Tetapi saya cuba fokus kepada kempen Sukan SEA terlebih dahulu dan Insya-Allah, saya akan membuat keputusan sebaik balik ke Malaysia," katanya dalam sesi latihan di Stadium Memorial Rizal pagi tadi menjelang persiapan melawan pasukan tuan rumah, Filipina, bagi aksi Kumpulan A, Sukan SEA, Jumaat ini.

"Buat masa ini, ada beberapa pasukan (yang membuat tawaran)."