Bola sepak: Hamidin yakin kemampuan skuad B-22

Oleh Bernama 21 November 2019 494
Bola sepak: Hamidin yakin kemampuan skuad B-22
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, yakin dengan kemampuan skuad B-22 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam Sukan SEA Filipina.

Prestasi barisan pemain sepanjang kem latihan pusat yang bermula sejak 4 November lalu serta keputusan positif yang diraih dalam beberapa siri persahabatan menyaksikan Hamidin percaya jurulatih berusia 49 tahun itu individu yang tepat untuk membawa Malaysia meraih kejayaan di Manila.

“Kita dapat lihat skuad kebangsaan di bawah pimpinan beliau (Kim Swee) mampu menempa kejayaan. Ia juga membuka peluang kepada setiap pemain untuk membuktikan kemampuan masing-masing," katanya selepas menyaksikan sesi latihan skuad B-22 di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), hari ini.

Dalam sesi latihan tersebut, skuad B-22 negara mencatat kemenangan 3-0 dan 2-0, masing masing ke atas Northern Territory FC dan Western Australia FC dalam aksi persahabatan.

Kim Swee pernah menghadiahkan pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011 dan pingat perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia akan memulakan kempen bertemu Myanmar Isnin depan, diikuti Filipina (29 November), Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember). Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen