Bola sepak: Digugurkan jadi titik perubahan Safawi

Oleh Bernama 21 November 2019 6941
Bola sepak: Digugurkan jadi titik perubahan Safawi
Ini bukan kali pertama bintang sensasi Harimau Malaya, Safawi Rasid, diketepikan ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, dalam pasukannya.

Pada 2016, Kim Swee yang ketika itu menjawat jawatan selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan mengambil keputusan untuk menggugurkan Safawi daripada senarai akhir bagi menghadapi saingan Piala AFF yang menyaksikan Malaysia gagal mara ke separuh akhir.

Selepas tiga tahun, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu kini menikmati kemuncak karier apabila membuktikan kualiti dimilikinya di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan di samping Johor Darul Ta'zim (JDT) di peringkat domestik.

Pengguguran pemain berusia 22 tahun itu diibaratkan sebagai titik perubahan dalam kariernya apabila bangkit selepas itu dengan prestasi lebih meyakinkan.

Justeru, Kim Swee mahu setiap pemain muda mencontohi kesungguhan serta sifat tidak putus asa yang dimiliki Safawi.

"Kalau tidak silap, Piala AFF 2016 merupakan titik perubahan, ketika itu saya menggugurkan Safawi.

"Apabila digugurkan, dia kembali dengan begitu positif dan tidak berputus asa. Ini memberikannya satu keyakinan yang cukup baik.

"Setiap pemain harus mencontohi Safawi. Apabila dia gagal atau digugurkan, dia tetap kembali dengan lebih kekuatan dan kini merupakan pemain terbaik  negara," kata jurulatih kelahiran Melaka itu. 

Semalam, Kim Swee mengesahkan untuk tidak menyenaraikan pemain dari Terengganu itu dalam Sukan SEA 2019 di Filipina demi kebaikannya kerana dia telah mengharungi begitu banyak perlawanan musim ini.

Bekas pemain sayap pasukan T-Team itu melakar rekod cemerlang bersama JDT musim ini apabila meledak 20 gol dan merekodkan 10 bantuan jaringan sepanjang 3,088 minit permainan yang melibatkan 37 penampilan.

Nama Safawi kini menjadi sebutan seluruh peminat bola sepak tanah air selepas meledak dua gol dalam kejayaan Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 dalam aksi Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin. 

Kemenangan itu sekali gus membantu skuad Harimau Malaya kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, melengkapkan tahun 2019 dengan penuh gemilang.

Kim Swee, yang telah membimbing Safawi bersama skuad kebangsaan serta skuad B-22 negara, mengakui pemain kebangsaan itu memiliki kekuatan kaki kiri dan sering meluangkan masa sekitar 15-20 minit untuk membuat latihan tambahan selepas tamat sesi latihan pasukan.

"Kita dapat lihat Safawi kini di tahap berbeza dan ini bukan sahaja hasil usaha barisan jurulatih tetapi keyakinan diri Safawi sendiri dan kesungguhan telah membawanya ke tahap yang cukup baik ini.

"Dalam sesi latihan, Safawi fokus kepada setiap situasi tetapi yang memberi kelebihan sudah tentu sepakan percumanya. Dia mempunyai kesungguhan untuk berlatih (sepakan percuma) setiap hari selepas tamat latihan.

"Apabila kita berlatih dengan baik ketika sesi latihan, ia akan berlaku serta ‘menjadi’ dalam setiap perlawanan," jelasnya. 

Pengguguran Safawi mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif oleh peminat tempatan, namun apa yang pasti sebagai jurulatih, Kim Swee hanya mahukan yang terbaik buat pemain tersebut.

Adakah dengan keputusan berkenaan,, seluruh peminat bola sepak tempatan akan menyaksikan peningkatan prestasi lebih baik daripada Safawi pada musim 2020?.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen