"Biar tewas fizikal tetapi bukan akal", itu pendekatan ketua jurulatih skuad bola keranjang lelaki negara, Brian Lester, dalam memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong daripada Sukan SEA Filipina.

Filipina, sebagai juara bertahan, sudah lazim memiliki bakat kacukan Amerika Syarikat dan Eropah dalam program bola keranjang mereka.

Bagi temasya dwitahunan itu yang bermula hujung bulan depan, Lester sudah mendapat perkhabaran seteru seperti Thailand dan Indonesia juga mengambil kesempatan untuk memperkasakan skuad dengan mengikut pendekatan Filipina.

Jurulatih itu berasakan Malaysia perlu bijak merencanakan strategi dan tidak termakan dengan umpan permainan fizikal lawan.

"Banyak pasukan sudah memiliki pemain naturalisasi untuk mempertingkatkan mutu pasukan. Ia merupakan satu cabaran dengan cara kami akan menampilkan corak bertahan," kata Lester.

Baru-baru ini, Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Jemputan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) sebagai naib juara.

Bagaimanapun, skuad itu terpaksa membayar harga mahal apabila segelintir pemain penting mengalami kecederaan, sekali gus memaksa tonggak seperti Perry Lim dan Kuek Tian Yuan untuk kekal cergas sehingga hujung temasya.

"Skuad negara mula menampilkan peningkatan dan kualiti melakukan jaringan semakin baik. Saya tidak sabar untuk saingan Sukan SEA dan yakin mereka mampu meraih pingat," kata jurulatih itu lagi