Pembentukan pasukan selama hampir dua tahun akan menjadi perkara sia-sia buat skuad bola keranjang lelaki negara jika tidak pulang daripada Sukan SEA Filipina 2019 dengan kalungan pingat.

Dua tahun lalu di laman sendiri, skuad Malaysia hampa dalam misi menghadiahkan pingat buat kontinjen negara sebelum Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menyerahkan tugasan program kebangsaan lelaki kepada NS Matrix.

Tatkala saingan di Filipina berbaki kurang sebulan lagi untuk bermula, pengendali kebangsaan, Brian Lester, optimis kemarau pingat dalam temasya dwitahunan itu mampu ditamatkan.

"Saya percaya kami mampu melakukannya. Kami telah meningkat dalam dua tahun terakhir. Pemain muda mula memperkuatkan pasukan dan kami berupaya mencipta beberapa perkara positif. Kami sangat yakin untuk meraih pingat jika segalanya berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Kejohanan Jemputan edisi kedua MABA dari 22 sehingga 27 Oktober ini akan menjadi pemanas badan terakhir buat skuad negara.

"Sebab utama MABA meletakkan kejohanan ini sebagai persiapan sebelum Sukan SEA, ia jadi persiapan terakhir dan saingan kali ini memperlihatkan kualiti yang sangat tinggi."