Malaysia di laluan tepat untuk mempertahankan pingat emas acara bola jaring Sukan SEA selepas membenam pasukan tuan rumah, Filipina, 88-25 dalam perlawanan pusingan awal di Manila hari ini.

Walaupun berdepan penyokong tuan rumah yang bersemangat di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna, pemain negara menunjukkan kehebatan dan kehandalan mereka sebagai juara bertahan dengan meraih kemenangan besar.

Juara dua kali itu bermula baik dengan mendahului 23-7 dalam suku pertama sebelum pasukan tuan rumah berkenaan cuba mengurangkan jurang dalam suku kedua.

Bagaimanapun, Malaysia mengekalkan momentum dengan mendahului 44-15.

Dengan kelebihan ketinggian pemain, Malaysia menambah jaringan untuk memenangi perlawanan kedua itu selepas mengalahkan Thailand 62-42 semalam.

Pemain pertama negara yang beraksi dalam liga luar negara bersama kelab Australia, GWS Fury, An Najwa Azizan, mengakui permainan mereka hari ini lebih baik daripada semalam.

“Tentunya satu permulaan yang baik, rancangan permainan kami dalam perlawanan pertama agak kelam-kabut, namun kami boleh melihat perubahan dalam perlawanan kedua.

"Hasrat kami ialah memperbaikinya dalam setiap perlawanan dan menjalankan rancangan permainan untuk hari tersebut,” katanya selepas perlawanan.

Malaysia akan bertemu Brunei, Khamis ini sebelum menamatkan perlawanan pusingan ‘round robin’ menentang pesaing utama, Singapura, berselang sehari.

“Kami lihat Brunei agak sukar tetapi kami ada rancangan permainan sendiri dan kami akan melaksanakannya.

"Bertemu Singapura, semua pasukan dalam Sukan SEA telah meningkat, jadi kami perlu bermain lebih baik,” kata pemain yang berketinggian 1.79 meter itu.

Sementara itu, ketua jurulatih, Tracey Robinson, berkata pasukannya perlu mengambil serius setiap perlawanan dan bekerja keras sepanjang 60 minit sambil menumpukan untuk bermain lebih baik.

“Perlawanan menentang Filipina ini antara yang amat penting, kami mahu bermain lebih baik daripada semalam dan kami melakukannya.

"Brunei adalah pasukan yang bagus, kami adalah pasukan tertinggi di sini tetapi ia semuanya berkaitan dengan permainan,” katanya.

-- BERNAMA