Pemain pool, Ibrahim Amir, mencatat rekod sebagai atlet Malaysia tertua yang menyertai Sukan SEA Filipina, namun dia masih lagi kemarau pingat emas sejak membuat penampilan sulung dalam temasya 2001.

18 tahun mewakili negara di pentas Sukan SEA, namun Ibrahim, 57, masih belum puas apabila meraih dua perak di Korat, Thailand pada 2007 sebelum kemarau pingat sehingga edisi Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Tiada kepuasan buatnya selagi tidak menggenggam emas dalam temasya berkenaan.

"Saya akan usahakannya sebab ketika ini kami hanya berlatih di dalam negara walaupun dulu pernah berlatih di luar negara.

"Ketika banyak menyertai kejohanan di luar negara, banyak kejohanan yang saya menangi," katanya.

Skuad biliard dan snuker negara dibarisi 16 pemain. Harapan terbaik untuk mengutip pingat buat negara adalah menerusi Moh Keen Ho dan Lim Kok Leong menerusi snuker individu serta berpasangan.

"Pemain Filipina merupakan pencabar terkuat, mereka di kelas dunia."

Sebanyak 10 pingat emas akan dipertandingkan dalam usaha skuad negara memperbaiki pencapaian hanya tiga gangsa dalam edisi lalu.