Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Muhsin Al Redha Misbah, memanfaatkan baki tempoh masa kurang sebulan menjelang Sukan SEA Filipina untuk mencari 'ramuan' mengatasi pelumba Indonesia dan Thailand.

Muhsin menganggap pelumba dua negara itu mempunyai prestasi yang semakin meningkat bagi memberi cabaran buat skuad negara di Filipina nanti.

Pelumba berusia 22 tahun itu juga mengakui perlu bekerja keras untuk membantu pasukan dalam penampilan pertamanya di pentas Sukan SEA kerana tuan rumah menyediakan laluan yang mencabar.

"Sudah banyak kali berdepan mereka. Memang mereka sedang dalam prestasi terbaik tetapi pelumba Malaysia juga tidak kurang hebatnya," katanya.

Biarpun kali pertama beraksi dalam temasya dwitahunan itu, Muhsin menyasarkan kedudukan podium sebagai balasan di atas kepercayaan ketua jurulatih, Mohammad Yusof Abdul Nasir, kepadanya.

Sebelum ini, Muhsin hanya beraksi di bawah pasukan Sapura dan belum pernah menyertai skuad kebangsaan.

"Ini kali pertama, jadi saya agak gemuruh tetapi mahu melakukan yang terbaik. Sasaran saya semestinya podium dan jika berjaya, Alhamdulillah."