Berbasikal lebuh raya: John Lexer intai pelumba Malaysia

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2019 54
Berbasikal lebuh raya: John Lexer intai pelumba Malaysia
Pelumba pasukan basikal lebuh raya 7-Eleven dari Filipina, Mark John Lexer Galedo, melihat saingan Jelajah Semenanjung sebagai pentas terbaik untuk mengintai kebolehan pelumba Malaysia menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan.

Jelajah Semenanjung yang mempunyai jarak keseluruhan sejauh 751.6 kilometer itu merupakan medan persiapan serta penilaian prestasi atlet negara sebelum ke temasya dwitahunan itu, akhir tahun ini.

Bagaimanapun, pelumba negara bukan sahaja dinilai oleh jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Yusof Abdul Nasir, malah turut diperhatikan pelumba Asia Tenggara yang lain.

"Saya rasa ia mencabar untuk pasukan jika melihat barisan pelumba yang turut serta. Ini adalah peluang terbaik untuk kami bagi menguji kekuatan dan mengekalkan prestasi. Ia juga berguna untuk melihat kemampuan pencabar dalam Sukan SEA nanti," katanya.

Peringkat pertama saingan itu bakal bermula esok di Dungun sehingga Kuala Terengganu dengan jarak keseluruhan 180.6 km.

Antara pasukan yang telah mengesahkan penyertaan adalah pasukan kebangsaan Malaysia dan dua pasukan pro-benua kebangsaan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC).
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen