Pingat pertama Sukan SEA menambahkan lagi keazaman badang negara, Aznil Bidin, untuk memastikan kelibatnya dalam Sukan Olimpik 2020 menerusi tiga kejohanan kelayakan yang akan disertainya awal tahun depan.

Atlet berusia 25 tahun itu mengharungi tahun yang hambar apabila gagal mendominasi beberapa kejohanan yang disertainya, seterusnya gagal menempatkan diri ke kelayakan Sukan Olimpik.

Namun, gangsa dalam temasya dwitahunan itu sudah cukup untuk dijadikan motivasi terbaik menjelang tiga kejohanan kelayakan yang akan disertainya awal tahun depan.

Apatah lagi, kejayaannya dalam kategori 61kg di Metro, Manila, sebentar tadi itu hadir selepas kempunan apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat dalam edisi 2013 di Nay Pyi Taw dan 2017 di Kuala Lumpur.

Pada Februari depan, Aznil akan berentap untuk memburu slot dan mata bagi sekurang-kurangnya menempatkan diri dalam kalangan lima terbaik Asia dalam usahanya meloloskan diri ke temasya di Tokyo.

"Sebelum ini, saya di kedudukan kelapan Asia tetapi saya perlu berada di kedudukan kelima di peringkat kelayakan," katanya.

Gabungan acara snatch serta clean and jerk membawanya kepada jumlah 283 mata, namun masih jauh untuk mengekori rapat Eko Yuli Irawan dari Indonesia yang beroleh emas dengan angkatan 309kg dan Thạch Kim Tuan dari Vietnam yang beroleh perak (304kg).

"Alhamdulillah saya dapat juga pingat Sukan SEA, sudah dua Sukan SEA saya di tempat keempat dan selepas lapan tahun untuk meraihnya."