Skuad bola tampar pantai negara terpaksa membuat pertukaran saat-saat akhir dengan menggugurkan taruhan utama, Shon Ngiap Shyang, sebelum belepas ke Filipina bagi menghadapi Sukan SEA minggu depan.

Ketua jurulatih, Thawip Thongkamnerd, membuat keputusan untuk meletakkan pemain daripada skuad bola tampar, Mohd Aizzat Mohd Zokri, sebagai pengganti.

Aizzat mengakui banyak perbezaan yang perlu dilakukannya untuk menyesuaikan diri dengan acara itu.

"Cabaran yang paling sukar buat saya adalah untuk mempersiapkan diri sendiri kerana sudah lama tidak beraksi di peringkat antarabangsa.

"Kali terakhir saya beraksi di peringkat antarabangsa ialah dalam Sukan Asia Incheon pada 2014.

"Jadi, ia mungkin platform baru untuk saya bermula dalam bola tampar pantai," katanya.

Skuad bola tampar pantai meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya menyumbangkan pingat gangsa dalam temasya dwitahunan itu.

Dalam tempoh yang singkat, Aizzat perlu memanfaatkan setiap waktu yang ada untuk meningkatkan keserasiannya bersama gandingannya, Raffi Asruki.

"Saya lebih pentingkan (keserasian) dengan gandingan saya berbanding (menyesuaikan diri dengan) pasir.

"Gandingan saya banyak membantu, jadi ia menjadi satu kelebihan," tambahnya.