WTCR: Hyundai Team Engstler kekal positif

Oleh Bernama 14 Disember 2019 36
WTCR: Hyundai Team Engstler kekal positif
Walaupun baru kali pertama beraksi dalam World Touring Car Cup (WTCR), pelumba pasukan Hyundai Team Engstler, Mitchell Cheah dan Hafizh Syahrin Abdullah, berjaya menampilkan catatan masa yang cukup baik dalam pusingan kelayakan.

Kedua-dua mereka tidak berjaya memecahkan rekod 12 teratas untuk mencabar Kelayakan Kedua (Q2) selepas Mitchell dan Hafizh Syahrin masing-masing menempah petak ke-28 selepas mencatat masa (2:15.647s) dan petak ke-29 dengan catatan masa (2:16.406s), pada Kelayakan Kedua (Q1), semalam.

Pengarah Pemasaran dan Sukan Hyundai Team Engstler, Kurt Treml, berkata kedua-dua pemandu itu konsisten dengan kelajuan dan menunjukkan peningkatan setiap kali mereka berada di litar.

"Pastinya jika anda melihat kedudukan, anda tidak akan nampak apa yang kami nampak. Kedua-dua Mitchell dan Hafizh Syahrin telah melakukan perlumbaan yang mengagumkan dan masa kelayakan yang mereka catatkan sangat baik.

"Kami perlu memahami bahawa cabaran adalah dalam perlumbaan WTCR itu sendiri yang menampilkan perlumbaan kereta terhebat di dunia. Ini merupakan kali pertama bagi mereka untuk menyertai perlumbaan WTCR jadi saya fikir masa (yang dicatat mereka) itu bagus dan mereka berdua cukup konsisten. 

"Bagi saya apa yang mereka lakukan adalah baik, mereka tidak melakukan apa-apa kesilapan, kami gembira dengan mereka dan mendoakan kejayaan mereka esok," kata Treml dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan itu.

Ia adalah sesi kelayakan yang paling sukar bagi Mitchell dan Hafizh Syahrin yang bersaing dengan pelumba dari kalangan perlumba terbaik dunia, dengan kedua-dua pemandu perlu membawa 20 kilogram balast di dalam kenderaan Hyundai i30 N TCR mereka, di samping menanggung beban memasuki perlumbaan menerusi penyertaan wildcard.

Ketiga-tiga perlumbaan akan diadakan esok bermula dengan Race 1 (sembilan pusingan) pada 3.15 petang, Race 2 (sembilan pusingan) pada 6.15 petang dan Race 3 (12 pusingan) pada 8.10 malam.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen