Pelumba Australia, Anthony West, terus mendominasi saingan pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Buddh, India apabila menjuarai perlumbaan SuperSports 600cc buat kali pertama pada musim ini, hari ini.

Selepas mencatat masa terpantas pada hari pertama sesi latihan bebas, semalam, pelumba Akeno Speed WJR Racing itu mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan untuk meraih petak pertama dengan masa 1 minit 55.528 saat.

West seterusnya menamatkan perlumbaan akhir yang dipendekkan kepada 13 pusingan daripada 16 pusingan selepas bendera merah dikibarkan disebabkan insiden kemalangan melibatkan Patis Chooprathet dengan masa 25 minit 21.592 saat.

Tempat kedua milik pelumba Yamaha Racing Thailand, Decha Kraisart, dengan masa 25 minit 26.378 saat dan ketiga, Ahmad Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) dengan masa 25 minit 27.491 saat.

"Saya sangat selesa dengan litar ini, ditambah dengan keadaan jentera yang baik setelah bergelut dengan pelbagai masalah jentera pada sesi latihan bebas pertama dan kedua.

"Bermula dari petak pertama juga banyak memberi kelebihan berbanding berada di kelompok pertengahan sebelum ini," jelas West.

"Persaingan sengit di antara pelumba di belakang saya juga memberi banyak kelebihan untuk saya mendahului kedudukan sehingga ke garisan penamat.

"Namun, perlumbaan esok saya jangkakan lebih sukar memandangkan pelumba lain juga semakin serasi dengan litar dan dapat mencari pelarasan yang lebih baik."

Kemenangan ini, bagaimanapun, tidak memberi banyak kelebihan kepada kelompok pendahulu keseluruhan.

Tomoyoshi Koyama (T. Pro Yuzy Honda NTS with Wow) yang menamatkan saingan di tangga keenam, berada di tangga teratas dengan 141 mata manakala pelumba Malaysia, Md Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Racing), berada di tangga kedua dengan 133 mata manakala dua juara bertahan, Yuki Takahashi dan Azlan Shah Kamaruzaman, berada di tangga ketiga dan keempat keseluruhan dengan 117 mata dan 100 mata.

Dalam saingan Asia Production 250cc, Apiwat Wongthananon, terus mendominasi saingan apabila meraih kemenangan ketujuh pada musim ini, sekali gus selesa di tangga teratas keseluruhan dengan 196 mata.

Pelumba Yamaha Thailand Racing itu menamatkan sembilan pusingan perlumbaan dengan masa 20 minit 35.958 saat untuk mengatasi rakan sepasukan, Anupab Sarmoon, dengan masa 20 minit 36.163 saat. Tempat ketiga milik Takehiro Yamamoto (Trickstar Racing) dengan masa 20 minit 37.437 saat.

Keputusan di tempat ketiga menyaksikan Yamamoto kini ketinggalan 45 mata di belakang Apiwat manakala Anupab di tangga ketiga keseluruhan dengan 117 mata.

Sementara itu, juara Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, Ahmad Fazli Sham (PETRONAS Yamaha Maju Motor), meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya memenangi perlumbaan kategori Underbone 130cc setelah menamatkan tujuh pusingan perlumbaan dengan masa 17 minit 19.913 saat.

Md Amirul Ariff Musa (T. Pro Yuzy Honda NTS With Wow), yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan masa 17 minit 20.514 saat, kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 103 mata.

Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Kage Motobatt Yamaha YY Pang) di kedudukan ketiga dengan masa 17 minit 21.451 saat, naik ke tangga kedua keseluruhan dengan 98 mata.

Keputusan Perlumbaan 1 ARRC

SuperSports 600cc
1. Anthony Keith West (AUS) Yamaha 25'21.592s
2. Decha Kraisart (THA) Yamaha 25'26.378s
3. Ahmad Yudhistira (INA) Kawasaki 25'27.491s
4. Yuki Takahashi (JPN) Honda 25'30.030s
5. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Kawasaki 25'30.834s

Kedudukan keseluruhan:
1. Tomoyoshi Koyama (JPN) Honda 141 mata
2. Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda 133 mata
3. Yuki Takahashi (JPN) Honda 117 mata
4. Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Kawasaki 100 mata
5. Dimas Ekky Pratama (INA) Honda 99 mata

Asia Production 250cc
1. Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha 20'35.958s
2. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 20'36.163s
3. Takehiro Yamamoto (JPN) Kawasaki 20'37.437s
4. Vorapong Malahuan (THA) Honda 20'37.834s
5. Galang Hendra Pratama (INA) 20'38.004s

Kedudukan keseluruhan:
1. Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha 196 mata
2. Takehiro Yamamoto (JPN) Kawasaki 151 mata
3. Anupab Sarmoon (THA) Yamaha 117 mata
4. Peerapong Loiboonpeng (THA) Yamaha 108 mata
5. Yusuke Nakamura (JPN) Yamaha 83 mata

Underbone 130cc
1. Ahmad Fazli Sham (MAS) Yamaha 17'19.913s
2. Md Amirul Ariff Musa (MAS) Honda 17'20.514s
3. Md Izzat Zaidi Salehan (MAS) Yamaha 17'21.451s
4. Md Shah Khairil Hisham (MAS) Yamaha 17'21.533s
5. Md Adib Rosley (MAS) Yamaha 17'21.971s

Kedudukan keseluruhan

1. Md Amirul Ariff Musa (MAS) Honda 103 mata
2. Md Izzat Zaidi Salehan (MAS) Yamaha 98 mata
3. Wahyu Aji Trilaksana (INA) Yamaha 93 mata
4. Ahmad Fazli Sham (MAS) Yamaha 85 mata
5. Nazirul Izzat Md Bahauddin (MAS) Honda 65 mata