Pusingan terakhir Kejuaraan Rali Malaysia AAM memiliki keunikan tersendiri dengan Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, menjadi lokasi perlumbaan pada 14 dan 15 Disember ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, trek di pesisiran pantai itu antara tarikan baru selepas TIEP lebih dikenali menerusi sukan berkuda.

Wan Sukairi berkata, peminat sukan rali akan dihidangkan satu perlumbaan bersejarah kerana laluan tersebut merupakan yang pertama seumpama itu di Malaysia, bahkan di peringkat dunia.

"Sebelum ini, sering diadakan kejohanan sukan kuda lasak di TIEP, namun buat pertama kali kami bawakan perlumbaan rali di laluan trek berkenaan.

"Seramai 64 pemandu dari 32 pasukan serta ratusan lagi krew teknikal dijangka mengambil bahagian dalam perlumbaan yang diberi nama Rally Championship of Terengganu itu," jelasnya.

Pemandu MRU Motorsports, Rachmat dari Indonesia, legenda rali negara, Karamjit Singh, serta wakil dari Jepun, Masafumi Yuduo, antara yang akan berentap selepas masing-masing menamatkan siri kedua di Perlis di kedudukan podium.

Kredit foto: Malaysian Rally