Lewis Hamilton mendakwa bahawa dia teruja dengan kelebihan kelajuannya berbanding Sebastian Vettel selepas berjaya mengatasi pelumba Ferrari itu dalam Grand Prix Amerika Syarikat dan semakin hampir untuk merebut gelaran dunia Formula Satu.

Hamilton memulakan perlumaan di petak pertama tetapi berada di belakang Vettel selepas selekoh pertama apabila pelumba dari Jerman itu bermula cemerlang di Litar Americas, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pelumba Mercedes itu terlalu pantas buat Vettel, yang kemudian dipotong dan kini hampir pasti gagal menghalang Hamilton daripada memastikan kejuaraan keempat dalam Grand Prix Mexico pada hujung minggu depan.

"Ia adalah tahun yang luar biasa," kata Hamilton seperti dipetik Sky Sports.

"Saya tidak jangka dapat mencapai tahap Sebastian (Vettel) tetapi kereta saya sangat hebat.

"Ia menakjubkan. Saya sukakan litar ini, saya fikir ia kini menjadi litar kegemaran saya," katanya mengenai litar yang dibina di Austin, Texas itu.

Keputusan pagi tadi menyaksikan Mercedes muncul juara pengeluar buat tahun keempat berturut-turut.

"Setinggi-tinggi tahniah buat pasukan, mereka bekerja keras. Mereka adalah pasukan terbaik pada tahun ini," kata Hamilton.

"Saya sukakan kerja saya. Ia satu perasaan yang hebat. Masih ada tiga (perlumbaan) dan tiga lagi untuk dimenangi."

Selepas melihat kelebihan awal hilang, Vettel mengakui dia tidak dapat mengatasi keunggulan mekanikal Hamilton.

"Pada permulaan, ia nampak baik. Kami mengatasi Hamilton tetapi agak cepat kami terpaksa menyedari bahawa kami tidak dapat mengejarnya, tahniah kepadanya," katanya.

"Menuju ke arah penamat, kami memutuskan untuk kembali ke pit menukar set tayar baru bagi membuat beberapa pusingan terakhir lebih menarik.

"Tiada rahsia sebenar selain mereka lebih laju daripada kami. Siapa yang paling cepat lazimnya mempunyai peluang baik untuk menang.

"Kemudian kami tidak mampu berbuat apa-apa, secara keseluruhan, ia bukan hasil yang kami mahu," katanya lagi.

Keputusan GP Amerika Syarikat

1. Lewis Hamilton (GBR/Mercedes-AMG) 1 jam 33:50.993 saat
2. Sebastian Vettel (GER/Ferrari) +10.143
3. Kimi Raikkonen (FIN/Ferrari) +15.779
4. Max Verstappen (NED/Red Bull) +16.768
5. Valtteri Bottas (FIN/Mercedes-AMG) +34.967
6. Estéban Ocon (FRA/Force India) +1:30.980
7. Carlos Sainz Jr (ESP/Renault) +1:32.944
8. Sergio Perez (MEX/Force India) +1 pusingan
9. Felipe Massa (BRA/Williams) +1 pusingan
10. Daniil Kvyat (RUS/Toro Rosso) +1 pusingan
11. Lance Stroll (CAN/Williams) +1 pusingan
12. Stoffel Vandoorne (BEL/McLaren-Honda) +1 pusingan
13. Brendon Hartley (NZL/Toro Rosso) +1 pusingan
14. Romain Grosjean (FRA/Haas) +1 pusingan
15. Marcus Ericsson (SWE/Sauber) +1 pusingan
16. Kevin Magnussen (DEN/Haas) +1 pusingan

Kedudukan Pemandu (5 terbaik)

1. Lewis Hamilton (GBR) 331 mata
2. Sebastian Vettel (GER) 265
3. Valtteri Bottas (FIN) 244
4. Daniel Ricciardo (AUS) 192
5. Kimi Räikkönen (FIN) 160

Kedudukan pengeluar (5 terbaik)

1. Mercedes-AMG 575 mata - juara
2. Ferrari 428
3. Red Bull 315
4. Force India 159
5. Williams 68