Selepas lengkap 23 musim dipertandingkan, perlumbaan Cub Prix kini melangkah ke satu tahap yang lebih tinggi dengan memperkenalkan kategori baharu CP150 yang menggantikan kelas perdana sebelum ini, iaitu CP130.

Tidak dinafikan saingan Cub Prix telah melahirkan beberapa pelumba berbakat negara yang kemudiannya mencipta nama di pentas antarabangsa.

Antaranya Wazi Abdul Hamid, Shahrol Yuzy, Zamri Baba, Azlan Shah Kamaruzzaman, Zulfahmi Khairuddin, Hafizh Syahrin dan yang terbaharu, Khairul Idham Pawi.

Antara mereka, Hafizh Syahrin dan Khairul Idham kini sedang bersaing dalam MotoGP dalam kategori Moto2 dan Moto3.

Bagaimanapun, memasuki tahun 2017, Cub Prix mencapai kelainan apabila mempertandingkan kategori CP150 menggantikan CP130.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual (SAM), Ron Hogg, yang bertanggungjawab dalam penganjuran perlumbaan Cub Prix, beranggapan langkah tersebut hadir pada masa yang tepat kerana persaingan dalam kalangan pelumba makin sengit.

"Bagi kami, kategori CP150 ini merupakan kelas berteknologi tinggi. Bagi orang ramai, motor ini kita gelar sebagai 'Super Cub' kerana ia menggunakan teknologi 'liquid cool' dan 'fuel injection'," jelas Ron.

Perkembangan ini menjadikan juara CP130 2016, Kasma Daniel Kasmayuddin, memegang rekod selaku juara CP130 terakhir dan juga yang termuda untuk memenanginya.

Dia, bagaimanapun, menjelaskan sudah bersedia untuk mengharungi saingan CP150 walaupun menyedari perlu lebih banyak menjalani latihan fizikal untuk menyesuaikan diri dengan jentera baharu itu.

"Kategori 150 itu bukan mudah kerana dia punya kuasa kuda yang agak tinggi dan berat motor pun agak berbeza kerana motor CP150 ini jauh lebih berat daripada CP130," ujar Kasma Daniel.

Sementara itu, bekas juara 2014, Zaqhwan Zaidi, menyatakan amat menghargai pendedahan yang diraihnya menerusi saingan Cub Prix sehingga dia mampu bergelar juara Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) sebanyak dua kali.

Zaqhwan berkata: "Bila dalam litar, perlumbaan di arena Cub Prix cukup teknikal. Pengalaman berpanjangan itu membuka peluang ke Kejohanan Asia Road Racing (ARRC)."

Pada masa sama, bekas pelumba negara, Shahrol Yuzy, turut berpandangan bakat dalam kalangan pelumba kini lebih terserlah dan yakin Cub Prix mampu terus memainkan peranan.

Dia yang turut mempunyai pasukan sendiri, Givi Honda Yuzy Racing, sentiasa memerhatikan pelumba-pelumba muda yang mempunyai potensi untuk diketengahkan ke tahap lebih tinggi.

"Cub Prix merupakan platform yang baik. Kerana itulah Cub Prix sering melahirkan pelumba 'one-make race', jadi daripada situ setiap pasukan akan mengambil mereka kalau mereka mempunyai bakat, " ujarnya.

Seorang lagi bekas pelumba dan Pengurus Petronas Yamaha Maju Motor, Yong Yin Hoe, juga berasakan pelumba generasi kini lebih berbakat: "Boleh lihat dengan jelas Malaysia mempunyai pelumba yang boleh bersaing dengan negara luar.

"Dulu tidak, zaman dahulu hanya 'factory bike' memiliki kelajuan tetapi dalam saingan MotoGP kini, kita boleh lihat lapan jentera memiliki peluang untuk menang."

Cabaran baharu, litar berlainan setiap musim dan pelumba yang berdaya saing akan terus memastikan saingan Cub Prix akan kekal antara peneraju bakat muda tempatan untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Kredit Imej: Fastlenz Communications