Hasrat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk memastikan individu daripada penggiat sukan permotoran dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Litar Antarabangsa Sepang (SIC)} kian tercapai apabila sudah menghantar satu nama kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setakat ini, hanya satu nama dihantar dan keputusan akan dimuktamadkan secepat mungkin sebaik mendapat persetujuan daripada Dr Mahathir.

Syed Saddiq mahu wakil daripada komuniti permotoran yang berpengalaman bagi menyumbang sesuatu sebagai ahli lembaga pengarah yang sebelum ini hanya terdiri daripada ahli perniagaan.

Langkah itu diharap mampu membuka ruang lebih luas kepada penggiat sukan permotoran untuk turut mempunyai suara dalam SIC.

"Selepas mendapat maklum balas secara menyeluruh daripada penggiat sukan permotoran, barulah saya akan memuktamadkan nama calon tersebut secepat mungkin.

"Saya tidak mahu terburu-buru dan akhirnya pilih orang yang salah.

"Sebab itu saya ingin tekankan, saya mahu komuniti yang terbabit dalam sukan permotoran ini bukan semata-mata membabitkan jentera mewah sahaja.

"Elemen komuniti permotoran yang sejajar dengan usaha untuk merakyatkan SIC perlu ada," kata Syed Saddiq ketika ditemui dalam sesi perjumpaan dengan penggiat sukan permotoran yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, hari ini.

Razlan tetap dengan pendirian bahawa tiada pelumba tempatan akan beraksi atas tiket 'wildcard' dalam Grand Prix (GP) Malaysia bulan depan sambil menyifatkan mereka masih lagi belum mencapai tahap yang diinginkan.

"Sebelum 2009, kita tidak mempunyai peluang untuk tiket 'wildcard' dan selepas mendapat platform berkenaan, kita tiada penunggang pula.

"Keadaan sudah menjadi terbalik," ujar Razlan.