Di sebalik kesuraman sukan permotoran tempatan, terutama perlumbaan kereta, Malaysia masih boleh berbangga dengan kelibat dua pelumba muda bersaudara, Muhammad Amirul Haikal dan Muhammad Afiq Haikal Hairul Azmi​, yang dilihat berpotensi menjadi pelumba profesional negara.

Amirul dan Afiq adalah pelumba termuda yang akan menyertai perlumbaan Ketahanan 1,000km Sepang (S1K) yang bermula hari ini hingga Ahad nanti.

Mula bergiat sebagai pelumba go-kart sejak berumur 11 tahun, mereka sedang memburu impian untuk menjadi pelumba kereta profesional dan meneruskan legasi seperti yang pernah dilakar Jazeman Jaafar, Fairuz Fauzy dan Nabil Jefri.

Pasangan adik-beradik itu akan bersaing bersama pasukan LMC Racing dan menetapkan sasaran berada dalam kelompok lima terbaik perlumbaan itu.

"LMC Racing yang mengangkat kami ke tahap profesional. Kami telah berkecimpung dalam perlumbaan go-kart selama tiga tahun sebelum beralih kepada perlumbaan kereta," kata Amirul.

Sementara itu, Afiq mendedahkan pengorbanan mereka pada usia remaja iaitu bergelar pelajar sekolah sambil menumpukan perhatian kepada bidang permotoran.

"Selepas menghadiri sesi persekolahan, kami akan ke gim selain menjaga pemakanan," katanya.

Bagi pengurus pasukan LMC Racing, Norazman Md Saad, yang merupakan antara individu yang bertanggungjawab mencungkil bakat Amirul dan Afiq, optimis dengan kemampuan dua anak muda itu untuk menyerlah biarpun kekurangan pengalaman.

"Ini adalah peringkat tertinggi buat mereka. Mereka pernah mengharungi perlumbaan 300km ketahanan dan sangat berjaya sebagai pendatang baru.

"Sebab itulah, saya amat yakin mereka mampu menghabiskan perlumbaan S1K ini berbekalkan semangat yang mereka ada," kata Norazman.