Razlan belum nampak daya usaha penunggang negara 

Oleh Shaiful Shamsudin 21 Oktober 2020 303
Razlan belum nampak daya usaha penunggang negara 
Arena permotoran negara kelmarin digemparkan dengan berita pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, disingkirkan daripada Petronas-Yamaha Sepang Racing Team (SRT) untuk kempen musim hadapan.

Pelumba kelahiran itu bergelut apabila gagal mengumpul sebarang mata selepas 11 pusingan perlumbaan.

Tatkala nasib Hafizh Shahrin Abdullah dalam Moto2 masih belum pasti, wujud kebimbangan kelibat pelumba negara akan hilang daripada sirkit MotoGP.

Timbul persoalan mengenai persembahan pelumba tetapi adakah sikap sambil lewa atau berada dalam zon selesa berikutan penunggang negara berbakat tetapi akhirnya dipintas pelumba Eropah yang lebih bekerja keras.

"Jika seseorang pelumba itu tahu bahawa dia dalam keadaan tidak baik daripada segi persembahan dan keputusan, bagi saya seseorang itu perlu buat apa-apa yang patut untuk bangkit. 

"Itu yang saya tidak nampak dalam kalangan pelumba Malaysia. 

"Jika pelumba Eropah dalam keadaan  sukar, mereka sebaliknya akan bekerja lebih keras untuk keluar daripada situasi sukar terbabit, (contohnya dengan) lebihkan latihan, tunggang lebih lama untuk berbuat sesuatu sebagai usaha untuk menjadi lebih baik," kata Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali ketika dihubungi wakil Astro Arena, Bazly Azmi, hari ini.  

 

News: PETRONAS Sprinta Racing and Khairul Idham Pawi to part ways KIP to leave the Malaysian squad at the end of 2020...

Posted by PETRONAS SRT on Tuesday, October 20, 2020


Dalam masa sama, masih ada ruang buat Khairul Idham dalam saingan peringkat tinggi dengan syarat dia perlu memanfaatkan aksi selebihnya musim ini.

Menurutnya lagi: "Ramai yang bertanyakan apakah yang kami melakukan untuk KIP tetapi ada tidak mereka beritahu KIP supaya melakukan sesuatu.

"Dengan baki empat perlawanan, dia perlu buat yang terbaik. Jika dia masih dalam kelompok belakang dan ada posisi terakhir, mustahil kami akan dapatkan tajaan untuk dia ke saingan Kejohanan CEV Moto2 di Eropah yang menelan kos sekurang-kurangnya RM1 juta. 

"Kalau dia boleh tunjukkan kebangkitan, saya mungkin boleh tolong dia.

"Kalau dia nak juga menyertai CEV, (maka) dia perlu cari jalan sendiri."

Begitupun, Razlan akur dengan kritikan peminat terhadap layanan SRT terhadap pelumba negara, namun yakin Malaysia pasti akan melahirkan penunggang yang berwibawa pada satu hari kelak. 

"Kadang-kadang saya kecewa tetapi setakat ini saya tidak bertindak balas dan hanya membaca naratif mereka.

"Saya faham kekecewaan peminat tetapi saya harap mereka bersabar sebab pembangunan ini akan mengambil masa yang lama."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen