Perkhabaran kurang baik dari Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Australia apabila dua bintang negara, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin, bergelut ketika peringkat kelayakan kategori Moto3.

Philip Island nampaknya tidak menawarkan tuah buat dua penunggang negara apabila mereka bakal memulakan perlumbaan di grid belakang.

Khairul mencatat masa 1 minit 39.589 saat manakala Adam 1 minit 39.828 saat.

Senario itu menyaksikan Khairul hanya muncul pelumba ke-18 terpantas manakala Adam di kedudukan ke-23.

Sedikit membimbangkan buat Khairul kerana sejak kemenangan di GP Jerman Julai lalu, dia sukar merebut peluang untuk menaiki podium.

Kejuaraan ibarat dalam tangan Brad Binder yang meneruskan dominasi musim ini apabila penunggang itu menyambar petak pertama.

Dalam Moto2 pula, penunggang negara, Hafizh Syahrin, juga berdepan nasib sama apabila menamatkan kelayakan di tangga ke-20.

GP Australia merupakan perlumbaan ketiga terakhir sebelum aksi kemuncak di Sepang dan Valencia.