Fabio Quartararo memberi amaran mengenai masalah tayar yang dihadapi jentera Petronas Yamaha ditungganginya walaupun mencatat masa terpantas dalam sesi latihan kedua Grand Prix (GP) Republik Czech.

Pelumba Perancis itu, yang memburu hatrik selepas kemenangan berturut-turut di Litar Jerez, mengetuai Kejohanan MotoGP dengan 10 mata di depan Maverick Vinales daripada Monster Energy Yamaha.

Sementara itu, Vinales mengalami kemalangan dalam sesi latihan pertama semalam tetapi kembali melakar masa kelima terpantas di sebalah petang, Quartararo bagaimanapun sekali lagi membuktikan kewibawaannya.

Catatan 1 minit 56.502 saat yang dirakamnya muncul 0.007s lebih pantas daripada rakan sepasukan, Franco Morbidelli, yang sentiasa memimpin itu sebelum penghujung sesi kedua.

Quartararo, 21, berkata: "Saya mempunyai perasaan yang sangat buruk dengan tayar ini. Motosikal saya dalam keadaan baik tetapi saya tidak faham, ketekalan tayar sangat buruk."

Dia berasakan tayarnya mempunyai cengkaman di Litar Jerez, sekali gus menyebabkannya kebingungan mengapa ia terasa sangat berbeza di trek Brno.

"Kami akan kehilangan 20 saat dalam setiap pusingan jadi kami perlu memahami apa yang sedang berlaku kerana ia sangat pelik," tambahnya.

"Lima pusingan pertama kami mempunyai perasaan yang baik kemudian kami kehilangan sesuatu. Esok khususnya kami bertujuan untuk mendapatkan ketekalan pelarasan.

"Jadi ia bukan hari yang mudah, tetapi pada akhirnya adalah baik untuk mengetahui di mana masalahnya dan kami akan lihat apakah yang boleh kami perbaiki."

Dia memberitahu laman sesawang rasmi MotoGP: "(Tayar) depan tiada masalah, ini mengenai bahagian belakang yang membuatkan kami kehilangan banyak cengkaman.

"Kami tahu di mana kami perlu usahakan dan kami akan berusaha mengatasinya."
Miguel Oliveira (KTM) berada di tempat ketiga terpantas di depan Johann Zarco (Avintia), Vinales dan Joan Mir (Suzuki Ecstar).

Valentino Rossi, yang tidak jauh untuk muncul sebagai pelumba pertama yang menaiki podium sebanyak 200 kali dalam kategori utama, berada di tangga ke-12 terpantas.

Juara bertahan, Marc Marquez, pula masih belum dapat berlumba minggu ini selepas terlepas aksi terakhir, GP Andalusia, ekoran insiden tangan patah yang menimpanya dalam GP Sepanyol bagi aksi pembukaan musim ini.

Pelumba Pramac Racing, Francesco Bagnaia, pula patah tibia di kaki kanannya semalam selepas terjatuh dalam sesi latihan pagi, lantas terkeluar dalam perlumbaan hujung minggu selain GP Austria, minggu depan.