Fabio Quartararo meneruskan rentaknya dalam tunggangan sepusingan untuk mengatasi Marc Marquez dan menduduki tangga teratas sesi latihan bebas kedua (FP2) MotoGP itu dalam Grand Prix Republik Czech, malam tadi.

Usaha akhir bintang muda Petronas Yamaha itu untuk meraih petak utama dalam dua daripada tiga perlumbaan terakhir, menyaksikannya menidakkan juara bertahan dunia dan pendahulu saingan, Marquez, dengan hanya 0.023 saat.

Prestasi awal di Brno itu bertambah mustahak dengan hujan dijangka turun dalam FP3 petang ini dan ini mungkin membuktikan betapa pentingnya sesi itu dalam menentukan kedudukan 10 pelumba yang secara automatik akan layak ke sesi kelayakan kedua.

Jentera Ducati kelihatan mampu menawarkan saingan bertenaga menerusi Jack Miller dan Andrea Dovizioso yang masing-masing merakam catatan 0.269s di belakang Quartararo, disusuli Maverick Vinales di tempat kelima dan Alex Rins daripada pasukan Suzuki Ecstar.

Valentino Rossi -- yang mengatasi masalah mekanikal -- dan Danilo Petrucci turut dalam kelompok 10 pelumba terpantas apabila mempunyai kelebihan tipis ke atas Joan Mir yang menduduki tangga ke-11 manakala Takaaki Nakagami terbabas dalam FP2 dan terpaksa berpuas hati di tangga ke-12.

Dovizioso, yang menduduki tempat kedua dalam senarai penunggang serta merupakan juara bertahan di litar itu tahun lepas, memimpin FP1 sambil dihambat Marquez.

Begitupun, setiap penunggang mempamerkan aksi lebih bertenaga apabila enam pelumba terpantas hanya dipisahkan dengan 0.423s manakala jurang dengan 13 pelumba terpantas lain hanyalah dua saat.

Bintang Repsol Honda, Marquez, yang memenangi lima daripada sembilan perlumbaan musim ini selain tiga kali muncul di tempat kedua, memiliki kelebihan 58 mata ke atas Dovizioso.