MotoGP Malaysia: SIC berdepan ujian jualan tiket 

Oleh Shaiful Shamsudin 4 April 2020 35
MotoGP Malaysia: SIC berdepan ujian jualan tiket 
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berdepan cabaran getir di sebalik pengekalan jadual Grand Prix (GP) Malaysia, 1 November depan, apabila perlu menarik jutaan peminat sukan dua roda itu membeli tiket tatkala dunia masih lagi diselebungi wabak koronavirus baru (Covid-19).

Beberapa perlumbaan MotoGP telah ditunda, antaranya di Perancis dan Sepanyol manakala GP Qatar yang sepatutnya berlangsung 8 Mac lalu dibatalkan.

Namun, Malaysia masih boleh menarik nafas lega apabila tarikh perlumbaan itu dikekalkan. 

Seandainya penularan pandemik itu masih berterusan, penganjur, Dorna Sports, tidak menolak akan melakukan rombakan lagi.

"Dengan situasi sekarang, penjualan tiket terjejas, langsung tiada penjualan tiket sejak Covid-19 (melanda).

"Saya yakin kalau keadaan bertambah baik, rakyat Malaysia terutama sukan permotoran yang menagih acara ini akan kembali (beri sokongan)," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, kepada wartawan Astro Arena, Adam Zamri, hari ini.

Dalam masa yang sama, Razlan turut mengesahkan Selasa ini merupakan hari terakhirnya untuk berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif SIC selepas memikul tanggungjawab bersama entiti itu sejak 2008.

"Benar, Selasa ini merupakan hari terakhir saya sebagai ketua pegawai eksekutif SIC.

"Selepas beberapa tahun (pengalaman), saya menaruh kepercayaan terhadap kemampuan pasukan saya untuk melakukan apa yang terdaya untuk memastikan MotoGP Malaysia berjaya, khususnya kekal relevan."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen