MotoGP: Hafizh Syahrin akan jalani pembedahan buang plat besi

Oleh Muzaffar Musa 2 Februari 2021 922
MotoGP: Hafizh Syahrin akan jalani pembedahan buang plat besi
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, akan menjalani pembedahan mengeluarkan plat besi, yang tertanam di tulang jari tangan kanannya sejak empat tahun lalu, pada Khamis ini.

Menurut pelumba dengan gelaran El-Pescao itu, keputusan berkenaan diambilnya selepas mendapati kekuatan genggaman tangan kanannya kurang 10 peratus berbanding tangan kiri.

"Saya akan menjalani pembedahan bagi membuang plat besi di tangan saya susulan kecederaan pada 2016," katanya kepada Nadi Arena.

"Plat itu sudah empat tahun berada dalam tubuh saya dan saya juga tidak tahu mengapa saya mengambil keputusan untuk mengeluarkannya selepas empat tahun.

"Saya cuma mahu tangan saya berasa lebih selesa kerana apabila saya menggenggam penumbuk, ada sedikit rasa ketat di bahagian atas.

"Walau macam mana saya menjalani pemulihan, perasaannya tetap sama, jadi  saya mengambil keputusan untuk membuangnya.

"Kerana saya ada melakukan ujian kekuatan tangan dan tangan kanan saya kurang 10 peratus kekuatan berbanding tangan kiri," katanya.

Tambah Hafizh Syahrin, jika segala-galanya mengizinkan, dia akan berlepas ke Eropah pada Mac ini untuk menjalani latihan bersama pasukan barunya, NTS RW Racing GP, menjelang pembukaan musim baru MotoGP di Qatar pada penghujung bulan itu.

"Mungkin saya akan ke Eropah pada Mac depan tetapi masih belum ada perkembangan setakat ini.

"Dengar khabar kami akan menjalani latihan di Qatar dan terus berlumba di sana.

"Mungkin saya akan berada di sana selama dua minggu," katanya lagi.

 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen