MotoGP: Hafizh harap faktor cuaca main peranan 

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2017 198
MotoGP: Hafizh harap faktor cuaca main peranan 
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mengharapkan tuah hujan di laman sendiri untuk menaiki podium dalam saingan MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini. 

Dua podium yang diperoleh Hafizh musim ini di San Marino dan Motegi menyaksikan dia menamatkan perlumbaan dalam hujan. 

Tambahan, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, kawasan daerah Sepang, khususnya, akan dilanda hujan pada sebelah petang ketika hari perlumbaan, Ahad ini. 

Ia dilihat satu kelebihan untuk Hafizh yang selesa bersaing dalam keadaan litar yang lembab dan basah. 

"Saya tidak kisah beraksi dalam mana-mana keadaan cuaca tetapi dalam hujan, ia memudahkan perjalanan untuk saya beraksi baik.

"Kalau kering, semua pelumba laju dan kalau hujan sebaliknya," katanya yang menamatkan perlumbaan di Sepang musim lalu di tempat kelima. 

Selain memburu podium, dia juga mengharapkan dapat mengutip mata dalam mengejar kedudukan 10 pelumba terbaik keseluruhan.

Hafizh kini di tangga ke-11 dengan mengutip 86 mata, dibezakan hanya tiga mata dengan pelumba Red Bull KTM Ajo, Brad Binder, di tangga ke-10.

"Kalau saya menamatkan perlumbaan di sini dengan bagus, Insya-Allah, saya akan berada dalam kelompok 10 terbaik. 

"Kalau tidak, sukar juga untuk saya dalam kedudukan keseluruhan. Apa-apapun, ini semua rezeki yang ditentukan," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen