Moto2: Kasma Daniel ketepi soal masalah dalaman pasukan Onexox TKKR SAG

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Julai 2020 222
 Moto2: Kasma Daniel ketepi soal masalah dalaman pasukan Onexox TKKR SAG
Masalah kewangan yang melanda pasukan Moto2, Onexox TKKR SAG, mampu menjejaskan masa depan pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin.

Sekiranya tiada penaja yang tampil ke hadapan untuk membantu pasukan itu, perlumbaan di Republik Czech hujung minggu ini mungkin yang terakhir buat penunggang berkenaan. 

RM3.23 juta merupakan jumlah yang diperlukan untuk menyelamatkan masa depan Kasma Daniel dalam Moto2 musim ini.

Masalah itu ekoran penaja utama menarik diri dan pasukan berkenaan memerlukan jumlah tersebut untuk menanggung pembiayaan aksi Kasma pada musim ini.

Apa yang menyedihkan juga, ini adalah musim pertamanya dalam kancah berkenaan dan telah pun menandatangani kontrak selama tiga tahun.

"Tiada halangan buat saya di sebalik cerita berkenaan pasukan, saya hanya buat kerja sendiri dengan tumpuan diberikan sepenuhnya bersama kakitangan di Sepanyol. 

"Saya teruskan latihan pada setiap hari termasuk berbasikal. 

"Saya cuma kekurangan basikal lebuh raya agar dapat melengkapkan tugasan harian," katanya ketika dihubungi Sepanyol. 


 
Posted by Kasma Daniel on Wednesday, July 8, 2020


Prinsipal Onexox TKKR SAG, Bobie Farid Shamsudin, masih belum berputus asa dan berazam untuk mendapat penajaan baru demi kesinambungan karier Kasma.

Masalah kewangan itu turut menyaksikan Kasma terpaksa menggunakan jentera lama Moto2 yang menyebabkannya sukar memberi saingan kerana jentera tersebut adalah kira-kira 0.8 saat lebih perlahan daripada jentera baru yang telah menjalani pembaharuan enjin dan kerangka motosikal. 

"Bagi saya, kesemua penunggang dalam saingan ini hebat-hebat belaka. 

"Saya perlu banyak belajar dan berlatih lagi.

"Saya tidak pernah menjejak kaki ke Republik Czech tetapi saya cuba mengenali selok belok Litar Automotodrom Brno melalui permainan video dan rakaman perlumbaan lalu. 

"Peter Gardner juga ada berkongsi maklumat mengenai litar di sana.

"Saya harap dapat buat yang terbaik memandangkan trek di sana agar lebar yang menjadi kegemaran saya," katanya.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen