Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mengutip tambahan empat mata hari ini selepas menduduki tempat ke-12 di Litar Mugello, Itali.

Hafizh menamatkan perlumbaan 16.310 saat dibelakang pemenang, Mattia Pasini, yang mencatat 39 minit 30.974 saat.

Meskipun gagal memperbaiki kedudukan ke-11 minggu lalu di GP Perancis, namun Hafizh -- daripada pasukan Petronas Raceline Malaysia -- tetap memastikan dia mengutip mata berharga selepas memulakan perlumbaan di petak ke-20.

Hafizh kini menduduki tempat ke-14 dalam carta kejuaraan dengan 23 mata, tiga mata dibelakang Lorenzo Baldassari yang menghuni tempat ke-13.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara dalam saingan Moto2, Khairul Idham Pawi daripada pasukan Idemitsu Honda Team Asia, sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-26.

Terdahulu dalam saingan Moto3, Adam Norrodin, turut gagal mengutip sebarang mata selepas menduduki tempat ke-18.

Bagaimanapun, keputusan itu sedikit-sebanyak mengubat kekecewaan pelumba berusia 18 tahun itu selepas gagal memulakan perlumbaan di Litar Le Mans, Perancis minggu lalu.

Kredit foto: Facebook Official Fan Club Hafizh Syahrin