Marquez pintas Dovizioso untuk juarai GP Thailand

Oleh Penulis Jemputan 7 Oktober 2018 313
Marquez pintas Dovizioso untuk juarai GP Thailand
Marc Marquez mempamerkan perlumbaan dramatik apabila mengatasi Andrea Dovizioso di garisan penamat perlumbaan Grand Prix Thailand, sekali gus semakin hampir untuk bergelar juara dunia buat kali kelima.

Buat julung kalinya, Litar Antarabangsa Chang, Buriram menjadi saksi pelumba 25 tahun Sepanyol, Marquez, bakal menjulang gelaran juara musim ini sejak menyertai kategori MotoGP pada 2013.

Berbaki empat lagi perlumbaan sebelum musim 2018 melabuhkan tirai, peluang Marquez untuk menggenggam kejuaraan kelima MotoGP tampak mudah dengan melintasi garisan penamat dengan masa 39 minit 55.722 saat, 0.115 saat mengatasi Dovizioso.

Dengan lapan pelumba teratas hanya dibezakan dengan kurang daripada dua saat, pelumbaan di Buriram ini sengit sebelum tiga pelumba, Dovizioso, Marquez dan Valentino Rossi menerajui saingan berbaki lagi 10 pusingan.

Belum sempat Rossi selesa di tempat ketiga, Maverick Vinales tiba menghadirkan tekanan, sekali gus memastikan tempat ketiga miliknya untuk Rossi menamatkan perlumbaan di luar kelompok podium.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen