Charles Leclerc berterima kasih kepada Sebastian Vettel kerana banyak membantunya sepanjang bersama pasukan Ferrari dan dahagakan permulaan cemerlang sejak menandatangani kontrak baru semalam.

Leclerc telah ditawarkan kontrak baru sehingga 2024 apabila menampilkan musim pertama yang cemerlang mengendalikan jentera Scuderia itu.

Pelumba kelahiran Monegasque itu menamatkan saingan di tempat keempat dalam saingan pelumba, mengatasi Vettel dengan berkelebihan 24 mata.

Leclerc menjelaskan banyak yang dipelajari menerusi pengalaman Vettel dalam tahun kedua dalam saingan Formula Satu (F1) dan mahu membalas kepercayaan kepada Ferrari.

"Saya sangat gembira untuk tahun ini. Banyak yang dipelajari daripada Vettel," kata pelumba berusia 22 tahun itu.

"Ia merupakan tahun yang cemerlang. Sesuatu yang direalisasikan daripada impian saya sejak kecil lagi. Saya sentiasa mahu menjadi pelumba F1, namun ia lebih manis bersama Ferrari.

"Bersama pasukan ini adalah sesuatu yang sukar untuk dipercayai dan kini tiba masa untuk saya berusaha dan menghadirkan keputusan positif buat pasukan."

Bekas pelumba Sauber itu berkata, "Pada permulaan musim ini, jika ada yang memberitahu saya akan memiliki tujuh petak pertama daripada 10 podium, saya tidak akan mempercayainya.

"Ia sememangnya jauh lebih baik daripada jangkaan awal. Tetapi terdapat kesilapan yang dilakukan sepanjang musim lalu.

"Namun, saya terpaksa berpuas hati dan mahu meningkatkan lagi persembahan tersebut bagi musim kedua bersama pasukan ini."