Pemandu Ferrari, Charles Leclerc, berjanji insiden pelanggarannya dengan rakan sepasukan, Sebastian Vettel, tidak akan berulang.

Pasangan itu terlibat dengan pelanggaran dalam perlumbaan kedua terakhir musim lalu di Brazil dengan persaingan hebat sesama meraka ditamatkan dengan insiden memalukan itu dan kedua-dua mereka tidak dapat menamatkan perlumbaan.

Prinsipal pasukan itu, Mattia Binotto, mendedahkan bahawa situasi tegang berkenaan sudah reda dan Leclerc -- yang menandatangani kontrak baru sehingga 2024 pada bulan lalu -- yakin persaingan hebat sesama mereka dapat melahirkan sesuatu yang positif musim ini.

"Kami amat bersaing dan adakalanya kami mengalami sedikit pergeseran di atas litar," katanya kepada Autosport.

"Tetapi pada akhirnya, kami cukup matang untuk mengetahui apa yang terjadi di atas litar tidak akan dibawa ke luar litar.

"Perkara paling penting ialah kami bekerjasama dengan baik di luar litar untuk membangunkan kereta kami dengan cara terbaik.

"Dan sudah pasti kami tidak akan terlalu terbawa-bawa ketika di atas litar seperti yang anda lihat di Brazil.

"Tetapi saya fikir ia pengajaran yang baik buat kami agar ia tidak berulang," katanya.

Leclerc, yang muda 10 tahun daripada Vettel, menamatkan musim lalu dengan kelebihan 24 mata di depan rakan sepasukannya itu.



Editor: Muzaffar Musa