Kemeriahan saingan Kejohanan Motorsikal Dunia (MotoGP) Malaysia 2016 terus diwarnai dengan berita gembira apabila pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengumumkan berjaya mendapatkan kontrak lanjutan untuk menganjurkan saingan MotoGP sehingga tahun 2021.

Pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi SIC, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, itu bakal memberikan impak positif terhadap perkembangan sukan permotoran negara.

Apatah lagi, saingan MotoGP makin mendapat tempat di hati peminat tempatan.

"Kontrak penganjuran MotoGP Malaysia sebenarnya akan berakhir tahun ini.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan kontrak kita baru sahaja diperbaharui selama lima tahun lagi dan akan berakhir pada 2021," katanya.

Senada dengan Azman adalah Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, yang melihat kepentingan lanjutan kontrak selama lima tahun mampu menjadi platform terbaik untuk pelumba tempatan beraksi cemerlang di laman sendiri.

"MotoGP telah menjadi satu platform untuk bakat muda Malaysia bersaing di Kejuaraan Dunia di tempat sendiri.

"Saya rasa itu adalah sebab utama MotoGP Malaysia diteruskan," ujar Razlan.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta, menyifatkan peningkatan penonton saban tahun serta pengurusan profesional oleh pihak SIC antara elemen yang menarik minat Dorna Sports untuk terus menjalin kerjasama.

SIC mencatatkan rekod paling membanggakan pada tahun ini sejak penganjurannya di Sepang pada 1999 apabila sebanyak 150,000 tiket berjaya dijual, iaitu peningkatan 10 peratus berbanding tahun lalu.

"Pendekatan Sepang dalam memahami dunia MotoGP adalah penting untuk terus menganjurkannya di sini.

"Organisasi Sepang juga bagus dan kami banyak menjalin kerjasama," ujar Ezpeleta.