Kasma ungguli sesi kelayakan di Jempol

Oleh Penulis Jemputan 14 Oktober 2017 42
Kasma ungguli sesi kelayakan di Jempol
Kasma Daniel Kasmayudin berada di landasan terbaik untuk meraih kemenangan keenam dalam kategori CP150 setelah muncul pelumba terpantas dalam sesi kelayakan Pusingan Kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS  di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu merakam masa terbaik 45.651s manakala pelumba Onexox TKKR Racing, Md Helmi Azman, yang beraksi cemerlang dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) mencatat pencapaian terbaik peribadi musim ini dengan masa 45.817s.

Md Adib Rosley (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan 45.876s sambil Md Fitri Ashraff Razali (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ) dan Md Izzat Zaidi Md Salehan (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) melengkapkan senarai lima pelumba  terbaik dengan catatan 45.893s dan 45.910.

“Keadaan cuaca hari ini agak baik berbanding keadaan hujan dan cuaca tidak begitu menentu sepanjang minggu ini,” jelas Kasma. 

"Bagi saya, perlumbaan di Jempol kali ini tidak bnyak berbeza berbanding perlumbaan lepas. Saya tidak berasa sebarang tekanan untuk mengejar kemenangan dan sekaligus menebus kekalahan di litar ini pada musim lepas."

Sementara itu, dalam saingan CP115, Md Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing), merakam masa terpantas sesi kelayakan dengan masa 46.619s, diikuti duo PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz dan Md Haziq Fairues, masing-masing dengan catatan terbaik  46.661s dan 46.713s.

Dalam saingan Wira, Md Anuar Ibrahim Pawi (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) bakal memulakan perlumbaan dari petak pertama setelah mencatat masa terpantas sesi Shootout dengan masa 47.218s, diikuti rakan sepasukan, Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) kedua, 47.505s. Pendahulu keseluruhan, Md Aiman Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha - AFB Tech) bakal bermula dari petak ketiga dengan catatan 47.643s.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen