Pasukan Musashi Boon Siew Honda mengekalkan kedudukannya sebagai pasukan terbaik buat tahun kelima berturut-turut dalam Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) sejak 2012, malah lebih manis, pelumbanya, Muhammad Zaqhwan Zaidi, turut dinobatkan juara keseluruhan Supersport 600cc.

Pengurus pasukan, Zulhelmi Ahmad, tidak menyangka pasukannya mampu mengekalkan momentum itu selepas kehilangan mata berharga dalam beberapa perlumbaan penting sebelum ini.

Zulhelmi berkata prinsip kerjasama dan hubungan yang erat antara setiap ahli pasukan menjadi kunci utama kejayaan mereka.

Musashi Boon Siew Honda mengakhiri musim ini dengan mengumpul 205 mata untuk menjuarai kategori keseluruhan pasukan SuperSport 600cc.

"Dalam musim ini, ada jatuh dan bangun buat pasukan kami. Seperti Ryuichi (Kiyonari) yang tidak dapat beraksi di Indonesia dan ketika Zaqhwan melakukan kesilapan di India.

"Perkara-perkara seperti ini harus diambil positif dan akhirnya kejayaan memihak kepada kami,” kata Zulhelmi.

Selain mengekalkan pasukan terbaik lima tahun berturut-turut, Musashi Boon Siew Honda turut menguasai kedudukan keseluruhan pelumba kategori SuperSport 600cc.

Zaqhwan, yang menamatkan saingan di tempat keenam dalam perlumbaan kedua kelmarin, sudah cukup untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan mengutip 162 mata.

Antara pelumba yang turut menyumbang kepada kejayaan Musashi Boon Siew Honda sebelum ini adalah Ryuichi, Azlan Shah Kamaruzaman dan Yuki Takahashi.

“Untuk mengekalkan pencapaian kami selama lima tahun ini adalah satu tugas yang sukar. Kami telah mencuba untuk mempertingkatkan prestasi dalam kualiti jentera dan aspek teknikal tunggangan tahun demi tahun."