"Kini 60 peratus sedia."

Itu keyakinan yang disuarakan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, daripada segi nilai tajaan yang diperoleh untuk mengharungi musim ini menjelang perlumbaan pertama di Litar Losail, Qatar, minggu depan.

Hafizh yang bakal beraksi dalam kancah Moto2 bersama pasukan Aspar Racing Team menerima suntikan semangat untuk mengharungi musim 2020 apabila menerima tajaan baru daripada UMW Grantt International Sdn Bhd.

Tajaan itu sedikit sebanyak membantu pelumba itu untuk memperbaiki prestasinya setelah hanya menduduki kedudukan ke-22 dalam perlumbaan ujian pertamanya di Litar Jerez, minggu lalu.

"Saya boleh katakan, mungkin dengan sokongan yang diterima, lebih daripada 60 peratus," katanya.

"Sebabnya adalah Grantt adalah produk tempatan. Kami cuba membawa nama ini berkembang lebih besar," tambah Presiden Pengeluaran dan Kejuruteraan UMW, Datuk Abdul Rashid Musa.

Bagaimanapun, pelumba sensasi negara itu tidak menafikan masih banyak yang harus diperbaiki sebelum membuka tirai perlumbaan, 8 Mac depan.

"Ujian di Qatar paling penting kerana perlumbaan seterusnya minggu depan. Persiapan lebih tinggi berbanding sebelum ini kerana di Eropah, pelumba di sana tampil lebih laju di laman sendiri," tambah Hafizh Syahrin.