Pelumba harapan negara, Hafizh Syahrin Abdullah, memerlukan masa setahun untuk mengembalikan semula keyakinan kesemua pemegang taruh, sekali gus kembali ke kelas perdana, MotoGP, pada 2021.

Hafizh Syahrin tidak kisah untuk kembali ke kelas Moto2 tahun depan setelah bergelut dengan jentera KTM dalam kelas perdana musim ini.

Pelumba itu akan menyertai pasukan Angel Nieto musim depan dan mahu mengembalikan reputasinya dengan menduduki podium dan menamatkan saingan keseluruhan dalam kelompok lima teratas.

Ia sasaran yang cukup tinggi, namun pencapaian itu akan menjadi penanda aras untuk menarik semula minat pasukan dalam MotoGP untuk mendapatkan khidmatnya bagi musim 2021.

"Bagi saya, dalam saingan Moto2, tidak ada aspek yang begitu taktikal daripada segi jentera.

"Kerana jenteranya tidak memiliki (bantuan) elektronik yang banyak.

"Ia lebih kepada kawalan menggunakan kemahiran tangan.

"Insya Allah, saya mampu memberikan saingan dalam Moto2.

"Sasaran saya adalah kedudukan lima teratas dalam Kejohanan Dunia dan konsisten dalam setiap perlumbaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, sudah berbincang dengan pihak penganjur MotoGP, Dorna, untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelakkan kes kecurian yang berlaku di Sepang hujung minggu lalu daripada berulang.

MotoGP Malaysia 2019 dipalit insiden memalukan apabila perkakasan motosikal bernilai RM200,000 milik pasukan Angel Nieto dicuri.

"Kami bukan sahaja akan menggunakan syarikat keselamatan tempatan, kami juga akan menggunakan syarikat dari luar negara seperti Austria.

"Kami akan meneliti kesemua aspek dan membuat yang terbaik untuk tahun depan," katanya.