Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, belum bersedia untuk mengumumkan pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi musim depan kerana mahu memberikan tumpuan terhadap baki perlumbaan musim ini.

Sebelum ini, pasukannya, Red Bull KTM Tech 3, mengumumkan bahawa pelumba Moto2, Brad Binder, akan menggantikannya dalam saingan kelas perdana musim depan.

Bagaimanapun, pelumba berusia 25 tahun itu enggan menjadikan kemelut itu sebagai penghalang untuk dia membuktikan prestasi cemerlangnya dalam baki 10 perlumbaan musim ini.

"Belum tahu lagi, saya tak berani nak kata apa-apa.

"Saya pun belum boleh nak beritahu sekarang, masih rahsia.

"Insya-Allah, tahun depan, kalau ada rezeki kita jumpa.

"Saya masih belum membuat pilihan saya nak pergi ke mana.

"Jadi, saya hanya fokus untuk tahun ni supaya pada tahun depan, kalau ada rezeki, kita jumpa di Sepang.

"Kalau tiada, saya akan mencari tempat lain," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Perlumbaan Grand Prix Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, bertekad untuk memastikan pelumba negara itu kekal beraksi dalam kejuaraan dunia biarpun dalam kategori Moto2.

"Saya tidak boleh komen setakat ini tetapi kami masih ada masa lagi.

"Jadi, saya nasihatkan semua peminat sukan permotoran supaya bersabar dan jangan panik.

"Kami akan bekerja keras untuk Hafizh," katanya.