Bermula musim depan, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, sah akan bernaung di bawah Petronas Sprinta Racing yang merupakan gabungan dua pihak, iaitu Petronas dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selain Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki bagi saingan Moto3.

Dengan peluang ini, Hafizh diberikan kebebasan sepenuhnya memilih pasukan juruteranya sendiri dan bakal memilih Fausto Bencivenni-Pons selaku ketua jurutera jenteranya.

“Sejak saya berlumba menerusi tiket wildcard pada 2011 di Sepang, beliau merupakan salah seorang yang membantu jurutera pada ketika itu. Beliau pernah menjaga penunggang seperti Jonas Folger dan Takaaki Nakagami dan mereka sudah berjaya meraih kemenangan podium.

"Saya berharap beliau mampu membantu saya meraih kejayaan yang sama.

"Kami akan cuba saling memahami tugas masing-masing dan membantu saya dalam keadaan yang diperlukan," kata Hafizh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali, meletakkan sasaran dalam kalangan lima pelumba terbaik pada musim 2018 sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang perlu dipenuhi Hafizh.

"Saya berharap Hafizh mampu berada dalam kalangan lima terbaik dan kami akan mempertimbangkan penyertaannya dalam saingan MotoGP pada 2019.

"Kami telah menyediakan apa yang diperlukan untuk dia mencapainya, kami telah memberikannya program latihan yang menyeluruh dalam pra-musim dan kakitangan yang diperlukan," kata Razlan.