GP Sepang 2017 antara yang terbaik

Oleh Penulis Jemputan 1 Oktober 2017 1109
GP Sepang 2017 antara yang terbaik
Perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia berakhir siang tadi selepas berlangsungnya penganjuran Grand Prix Malaysia 2017 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan sudah pasti perlumbaan menghadirkan pelbagai kenangan buat mereka yang terlibat.

Selepas 19 kali penganjuran, GP Malaysia edisi terakhir dianjurkan dengan harapan untuk melihat pasukan 'tempatan', Mercedes AMG Petronas, meraih kemenangan, namun ia tidak kesampaian.

Max Verstappen daripada pasukan Red Bull mengungguli saingan selepas mengatasi pendahulu keseluruhan pelumba, Lewis Hamilton, yang mewakili Mercedes sambil tempat ketiga menjadi milik seorang lagi pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo.

Ternyata SIC telah menjalankan tugas dengan baik di samping jumlah kehadiran penonton yang memberangsangkan dengan anggaran hampir 120,000 orang menyaksikan perlumbaan seperti yang disasarkan oleh SIC.

Bagi sesetengah peminat, mereka pastinya akan merindui kemeriahan saingan di Sepang dan berharap agar perlumbaan itu akan kembali dianjurkan pada masa akan datang dan dalam masa sama menyifatkan penganjuran pada tahun ini merupakan antara yang terbaik.

“Pastinya perlumbaan pada hari ini adalah sesuatu yang menarik selepas kesemua pemandu memberikan aksi 100 peratus,” kata wartawan Canal+ dari Perancis, Franck Montagny.

“Selepas ini, pasti akan terasa sunyi kerana perlumbaan F1 adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu pada setiap tahun. Saya mengharapkan perlumbaan ini akan kembali ke Malaysia,” ujar Tunku Nashrul, wartawan media tempatan. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen