Dugaan demi dugaan tidak mematahkan semangat pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah, untuk kembali beraksi dalam Grand Prix (GP) San Marino apabila berangkat ke Itali, malam tadi.

Bagaimanapun, Pescao55 mendedahkan kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz, bahawa dia perlu mendapat kelulusan kecergasan terlebih dahulu, esok atau lusa.

Sebelum ini, pelumba kelahiran Ampang itu terpaksa mengambil waktu rehat yang lebih lama berbanding pelumba lain akibat mengalami kemalangan ngeri dalam GP Austria, 16 Ogos lalu.

Bagaimanapun, dia yakin keadaannya sudah stabil dan cergas untuk menyambung semula cabaran minggu ini.

"Saya ada dua hari untuk menjalani ujian kecergasan dan sebaik sampai di sana, dengan perubatan yang ada, saya akan gunakan sebaik mungkin dengan harapan ia boleh membantu," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain itu, Hafizh Syahrin juga mengulas mengenai peluangnya di Litar Dunia Misano itu yang selama ini lebih berpihak kepada dirinya berbanding litar lain.

"(Kecederaan ini) agak mengganggu ketika saya mengambil selekoh ke kiri, mungkin ini salah satu peluang untuk saya menunggang.

"Saya perlu mencuba, saya tidak dapat ramalkan perlumbaan itu kelak.

"Saya perlu mengetahui perasaan (sendiri sebaik) berada di atas motorsikal pada hari pertama. (Kemudian) barulah saya boleh berikan kata akhir."